Wednesday, August 10, 2016

Perkembangan kanak kanak

Sebagai sebuah program yang berfokuskan pendidikan, pelaksanaanya telah dimulakan dengan penggubalan sebuah kurikulum khas bagi Program PERMATA Negara. Penggubalan Kurikulum PERMATA Negara adalah berorientasikan pembangunan diri kanak-kanak dan berfokuskan kepada perkembangan kanak-kanak secara holistik dalam aspek kemahiran kognitif, sosio-emosi, berkomunikasi dan fizikal. Ianya telah digubal oleh sebuah Jawatankuasa Teknikal Kurikulum yang dipengerusikan oleh Mantan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan keahliannya terdiri dari pakar kanak-kanak dari universiti-universiti dan individu profesional dalam bidang ini. Kurikulum PERMATA yang juga berpaksikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan kepada lima aspek utama bagi memastikan ianya menjadi sebuah program yang holistik bagi kanak-kanak di bawah umur 4 tahun iaitu aspek  (a) interkasi dan komunikasi aktif,  (b) rangsangan minda dan literasi,  (c) memperkasakan kanak-kanak,  (d) pembelajaran secara bebas,  (e) pemantauan kebolehan dan potensi kanak-kanak dan  (f) pembelajaran melalui permainan.  Objektif utama kurikulum ini ialah untuk membolehkan kanak-kanak membesar sebagai seorang yang berkasih sayang, prihatin, berkeyakinan, berperibadi mulia dan mempunyai kestabilan emosi. Pengisian kurikulum juga telah digubal untuk merangkumi enam bidang pembelajaran utama khusus bagi  (i) Fizikal,  (ii) Awal Matematik dan Pemikiran Logik,  (iii) Deria dan Pemahaman Dunia Persekitaran,  (iv) Bahasa, Komunikasi dan Literasi Awal,  (v) Kreativiti dan Estetika dan  (vi) Sahsiah, Sosio-Emosi dan Kerohanian  dan satu aspek pengasuhan lengkap meliputi: keselamatan, pemakanan seimbang, penjagaan bayi dan kanak-kanak dan amalan pengasuhan. Kajian perbandingan juga telah dilakukan terhadap program-program seumpama ini yang dilaksanakan oleh negara-negara maju. Hasilnya telah diolah semula menjadikan Kurikulum PERMATA adalah gabungan model terbaik daripada pusat-pusat asuhan kanak-kanak yang cemerlang di Eropah, Amerika Syarikat dan beberapa negara Asia yang kemudiannya disesuaikan dengan budaya masyarakat setempat dan Falsafah Pendidikan Negara bagi memantapkan lagi kandungannya untuk memenuhi keperluan dan perkembangan minda kanak-kanak Malaysia. Pemakaian kurikulum ini diaplikasikan melalui aktiviti pembelajaran yang telah dirancang agar bersesuaian dengan tahap perkembangan dan kebolehan kanak-kanak mengikut peringkat umur mereka.
Saya sesungguhnya percaya bahawa program pendidikan yang berkualiti dapat menyediakan anak-anak kita dengan platform yang kukuh untuk bersama memacu kemajuan negara. Ini adalah salah satu strategi yang boleh diambil sebagai persediaan untuk modal insan terbaik negara dan menangani masalah sosial di kalangan remaja. Melalui pelaksanaan program pendidikan PERMATA ini adalah diharapkan setiap kanak-kanak dari usia kecil akan mempunyai peluang untuk digilap dan dikembangkan potensinya secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmaninya. Usaha ini adalah bagi membantu hasrat Kerajaan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang mampu memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.YABhg. Datin Paduka Seri Hjh. Rosmah MansorMajlis Perasmian Pusat Anak PERMATA Negara Bercham, Perak. 
Kurikulum PERMATA telah diuji rintis di Pusat PERMATA dan dikaji semula serta dibuat penambahbaikan dengan mengambil kira kurikulum-kurikulum Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak atau KAAK dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kurkikulum Sijil Asas Pendidikan Awal Kanak-kanak Taska dan SEPAKT dari KEMAS.   Kurikulum ini juga telahpun melalui beberapa proses penambahbaikan hasil dari kajian keberkesanan pemakaiannya sepanjang tempoh projek perintis mulai 2007 hingga 2009 bagi memantapkan lagi kandungannya yang telah diluluskan oleh Kerajaan pada Tahun 2008. Ianya akan menjadi bahan rujukan dalam perluasan program PERMATA.;

No comments:

Post a Comment