Wednesday, August 10, 2016

Perkembangan Kanak Kanak mengurus silibus Permata Negara

Penyelidikan dalam bidang neurosains menunjukkan bahawa perkembangan otak dalam lima tahun pertama adalah lebih pantas serta intensif dan lebih mudah terdedah kepada pengaruh luaran atau persekitaran. Dalam tempoh ini, interaksi dengan manusia dan objek adalah penting untuk membantu perkembangan otak yang baik. Justeru, pendedahan kepada persekitaran emosi, fisikal dan intelek oleh kanak-kanak pada usia awal dalam kehidupannya mempunyai impak yang besar terhadap perkembangan otak mereka.

“The synapses that are used a lot become a permanent part of the brain. The synapses that are not used frequently are eliminated. This is where experience plays an important role in wiring a young child’s brain”

Gable, 2001 
‘Nature, Nurture and Early Brain Development’, University of Missouri

Berdasarkan kajian saintifik, otak bayi yang baru dilahirkan mengandungi 100 bilion sel otak atau neurons yang akan diaktifkan apabila sel-sel otak (neurons) ini berhubung atau bersambungan. Perhubungan dibentuk apabila sel-sel neuron diransang dan dinamakan sinaps. Dalam masa tiga tahun pertama, otak kanak-kanak aktif membina sinaps, jika lebih banyak sinaps terbentuk, lebih banyak jaringan neuron dalam otaknya. Jika sinaps tersebut digunakan dengan kerap, akhirnya ia akan menjadi hubungan yang kekal. Dengan ini, adalah penting kanak-kanak diberikan lebih banyak ransangan positif secara kerap dan berterusan supaya sinaps yang terbentuk menjadi kekal.

Mengambil kira teori perkembangan ini, maka program PERMATA Negara bertujuan untuk menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran dan interaksi sosial kepada kanak-kanak supaya lebih banyak sinaps terbentuk dan kekal sebelum mereka bersedia memasuki alam persekolahan formal.

“In the first 3 years of life, children learn, or fail to learn, how to get along with others, how to resolve disputes peacefully, how to use language as a tool of learning and persuasion, and how to explore the world without fear. Brain research reveals that most of the connections that will be maintained throughout life are formed during childhood”

Bredekamp & Copple 
1997

 

Selepas tiga tahun, bilangan sel neuron masih sama banyak tetapi bilangan sinaps bertambah berlipat ganda. Jalinan atau rangkaian neurons ini terbentuk hasil pengalaman yang diperolehi semasa kanak-kanak berinteraksi dengan alam sekelilingnya. Setiap pengalaman yang diperolehi membentuk jaringan sinaps dalam otaknya. Jaringan ini membolehkan neuron menghantar maklumat daripada deria dan perasaan yang akan menjadi asas kepada membina minda yang boleh berfikir dan mengingat.

Perkembangan kanak kanak

Sebagai sebuah program yang berfokuskan pendidikan, pelaksanaanya telah dimulakan dengan penggubalan sebuah kurikulum khas bagi Program PERMATA Negara. Penggubalan Kurikulum PERMATA Negara adalah berorientasikan pembangunan diri kanak-kanak dan berfokuskan kepada perkembangan kanak-kanak secara holistik dalam aspek kemahiran kognitif, sosio-emosi, berkomunikasi dan fizikal. Ianya telah digubal oleh sebuah Jawatankuasa Teknikal Kurikulum yang dipengerusikan oleh Mantan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan keahliannya terdiri dari pakar kanak-kanak dari universiti-universiti dan individu profesional dalam bidang ini. Kurikulum PERMATA yang juga berpaksikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan menekankan kepada lima aspek utama bagi memastikan ianya menjadi sebuah program yang holistik bagi kanak-kanak di bawah umur 4 tahun iaitu aspek  (a) interkasi dan komunikasi aktif,  (b) rangsangan minda dan literasi,  (c) memperkasakan kanak-kanak,  (d) pembelajaran secara bebas,  (e) pemantauan kebolehan dan potensi kanak-kanak dan  (f) pembelajaran melalui permainan.  Objektif utama kurikulum ini ialah untuk membolehkan kanak-kanak membesar sebagai seorang yang berkasih sayang, prihatin, berkeyakinan, berperibadi mulia dan mempunyai kestabilan emosi. Pengisian kurikulum juga telah digubal untuk merangkumi enam bidang pembelajaran utama khusus bagi  (i) Fizikal,  (ii) Awal Matematik dan Pemikiran Logik,  (iii) Deria dan Pemahaman Dunia Persekitaran,  (iv) Bahasa, Komunikasi dan Literasi Awal,  (v) Kreativiti dan Estetika dan  (vi) Sahsiah, Sosio-Emosi dan Kerohanian  dan satu aspek pengasuhan lengkap meliputi: keselamatan, pemakanan seimbang, penjagaan bayi dan kanak-kanak dan amalan pengasuhan. Kajian perbandingan juga telah dilakukan terhadap program-program seumpama ini yang dilaksanakan oleh negara-negara maju. Hasilnya telah diolah semula menjadikan Kurikulum PERMATA adalah gabungan model terbaik daripada pusat-pusat asuhan kanak-kanak yang cemerlang di Eropah, Amerika Syarikat dan beberapa negara Asia yang kemudiannya disesuaikan dengan budaya masyarakat setempat dan Falsafah Pendidikan Negara bagi memantapkan lagi kandungannya untuk memenuhi keperluan dan perkembangan minda kanak-kanak Malaysia. Pemakaian kurikulum ini diaplikasikan melalui aktiviti pembelajaran yang telah dirancang agar bersesuaian dengan tahap perkembangan dan kebolehan kanak-kanak mengikut peringkat umur mereka.
Saya sesungguhnya percaya bahawa program pendidikan yang berkualiti dapat menyediakan anak-anak kita dengan platform yang kukuh untuk bersama memacu kemajuan negara. Ini adalah salah satu strategi yang boleh diambil sebagai persediaan untuk modal insan terbaik negara dan menangani masalah sosial di kalangan remaja. Melalui pelaksanaan program pendidikan PERMATA ini adalah diharapkan setiap kanak-kanak dari usia kecil akan mempunyai peluang untuk digilap dan dikembangkan potensinya secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmaninya. Usaha ini adalah bagi membantu hasrat Kerajaan untuk melahirkan rakyat Malaysia yang mampu memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.YABhg. Datin Paduka Seri Hjh. Rosmah MansorMajlis Perasmian Pusat Anak PERMATA Negara Bercham, Perak. 
Kurikulum PERMATA telah diuji rintis di Pusat PERMATA dan dikaji semula serta dibuat penambahbaikan dengan mengambil kira kurikulum-kurikulum Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak atau KAAK dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kurkikulum Sijil Asas Pendidikan Awal Kanak-kanak Taska dan SEPAKT dari KEMAS.   Kurikulum ini juga telahpun melalui beberapa proses penambahbaikan hasil dari kajian keberkesanan pemakaiannya sepanjang tempoh projek perintis mulai 2007 hingga 2009 bagi memantapkan lagi kandungannya yang telah diluluskan oleh Kerajaan pada Tahun 2008. Ianya akan menjadi bahan rujukan dalam perluasan program PERMATA.;